Watak dan perwatakan Zaraki_Kenpachi

Kenpachi memiliki rupa yang ganas dan menggerunkan, sesuai dengan personalitinya. Dia memakai jaket kaptennya tanpa lengan, dan kelihatan compang-camping berbanding pakaian kapten-kapten lain (dia memakai jaket milik bekas kapten Divisyen ke-11, yang ditewaskan lalu dibunuhnya dalam satu pertarungan). Dia menghiaskan rambutnya dengan gaya cacak-cacak beserta beberapa "loceng" di hujung rambutnya. Selain itu, dia memakai sehelai penutup mata pada mata kanannya yang dicipta oleh Divisyen ke-12 untuk menyerap tenaga berlebihan yang dikeluarkannya. Kedua-dua ciri ini adalah untuk memastikan bahawa Kenpachi mampu bertarung pada tahap yang sama dengan musuh-musuh yang lebih lemah daripadanya, meskipun mata kanannya mampu melihat jika penutup matanya ditanggalkan. Kenpachi juga mempunyai parut yang besar di sebelah kiri mukanya; dia telahpun memiliki parut tersebut sebelum kedatangannya di Soul Society (mahupun sebelum dia bertemu dengan Yachiru). Selain itu, Kenpachi juga merupakan salah satu daripada watak Bleach yang tinggi; ketinggiannya mencecah 202 cm (lebih kurang 6 kaki 7½ inci). Rekod ini menunjukkan Kenpachi adalah lebih tinggi sedikit berbanding Sado Yasutora dan hampir dua kali ganda ketinggian leftenannya, Kusajishi Yachiru. Ketinggian Kenpachi selalunya dilebih-lebihkan meskipun untuk bahan-bahan dramatik, terutamanya sebagai kontras kepada ketinggian Yachiru.

Dalam babak khas "Piala Shinigami" sejurus selesainya siaran episod 71, Kenpachi dilihat meletakkan loceng-locengnya di rambutnya, di mana dia telah mengambil masa yang agak lama untuk bersiap. Loceng teratas di rambutnya mengambil masa beberapa jam untuk dilekatkan, kerana hujung rambutnya adalah sukar untuk dicapainya. Kadang-kala, Yumichika akan menawarkan bantuan, namun Zaraki selalunya menolak kerana dia berasa pelik jika rambutnya dihias oleh orang lain. Tite Kubo telah menyatakan bahawa rambut Zaraki Kenpachi merupakan yang paling sukar untuk dilukis, disamping rambut Tōsen Kaname.[2]

Kusajishi Yachiru seringkali dilihat "menunggang" di bahu kaptennya.

Meskipun Kenpachi diperkenalkan sebagai musuh yang digeruni, dia kemudiannya memainkan peranan sebagai seorang watak anti-hero yang lucu dalam Bleach: meskipun masih tegas dan mementingkan diri sendiri, tindakan yang diambilnya adalah untuk kebaikan semua, dan hubungan Kenpachi bersama-sama divisyennya selalu dipamerkan dari segi yang melucukan. Perubahan yang lucu ini selalunya bertumpu pada kemunculannya dalam anime Bleach dan kisah-kisah omake, mengecualikan dialog-dialog biasa yang berlaku di antara dirinya dan Yachiru. Kenpachi dikatakan mempunyai firasat yang buruk akan hala tuju sesuatu tempat, dan seringkali ditunjukkan dalam kisah-kisah omake bergantung kepada leftenannya, Yachiru, untuk sampai ke sesuatu tempat (di mana Yachiru dengan sambil lewa menuding jari ke mana-mana arah yang dilihatnya).

Kenpachi hidup untuk berlawan (dibuktikan dengan kaedahnya mendapatkan pangkatnya) dan menikmati pertarungan yang bagus lebih daripada apa sahaja. Dia juga sanggup melemahkan dirinya untuk menikmati pertarungannya dengan seorang yang lebih lemah supaya pertarungannya berpanjangan. Dia juga mengatakan bahawa kecederaan dan kematian adalah perkara-perkara kecil dan hanya sekadar bayaran kepada suatu pertarungan yang sengit dan memuaskan. Meskipun divisyen di bawah Kenpachi adalah yang paling ganas dalam Gotei 13, mereka menjalankan tugas di bawah satu undang-undang etika, namun berbeza jika dibandingkan dengan undang-undang Soul Society.

Meskipun Kenpachi hidup untuk bertarung, dia pernah menunjukkan sebahagian daripada emosinya terhadap dua perkara: leftenannya Yachiru (yang merupakan salah seorang daripada mereka yang disanjungi Kenpachi, di samping Ikkaku dan Yumuchika) dan namanya, yang diberikan oleh dirinya sendiri. Selepas pertarungannya bersama Ichigo, di dalam suatu detik yang menyedihkan, Kenpachi menyatakan tentang kepedihan tidak mempunyai nama (kerana dia telah hidup sejak kecil sehingga remaja sebagai seorang yang tidak bernama), dan berasa bersalah kerana pedangnya tidak dikenali dengan namanya.

Kenpachi juga mempercayai dengan kuat bahawa keseronokan muncul sebelum seseorang bekerja. Dalam setiap pertarungan, dia telah cuba mendapatkan sebanyak keseronokan yang boleh diperolehinya. Dia juga menghantar ahli ke-5 divisyennya, iaitu Yumichika, untuk menghalang golongan Bount di Bandar Karakura, kerana dia merupakan satu-satunya shinigami berpangkat tinggi yang sedang sibuk menghabiskan masa berseronok, kerana Yachiru sedang berehat-rehat manakala Ikkaku sedang tidur, dan Yumichika sedang sibuk menyusun dokumen-dokumen.

Pada masa-masa tertentu Kenpachi menyangkal sebarang logik akalnya sendiri, kerana dia amat menginginkan kuasa yang lebih, namun pada masa yang sama menghadkan kekuatannya. Dilihat kurang rasional pada suatu tahap tertentu, Kenpachi ialah salah satu daripada watak yang paling kompleks dalam siri ini, kerana dia menunjukkan ciri-ciri yang memerlukan penerangan yang meluas; sikap acuh tak acuh, kegilaan akan pertumpahan darah, sentimen-sentimen aneh ke atas ahli-ahlinya, dan termasuk juga tanda-tanda kebijaksanaan dari segi kata-kata, seringkali ditujukan kepada pihak lawan sebelum mereka bertarung, kadang-kala berlaku sewaktu bertarung juga. Setiap satu faktor ini adalah selari dengan perwatakan Ichigo, memberikan pandangan kepada perjuangan dalaman yang dihadapinya.